Rasulullah mengajar kita supaya
berdoa dengan doa ini,
"Ya
Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip
mata."
Mengapa?
kerana diri kita lemah, ilmu cuma 'sekerat', kudrat kita terhad. Mana mungkin
kita dapat mengharungi kehidupan yang begitu mencabar ini hanya bersandarkan
kekuatan diri. Justeru, dalam doa itu Rasulullah saw berpesan agar serah dan
pasrahkanlah hati serta diri kepada Allah.
Kita tidak mengetahui apa yang
terbaik untuk diri kita sendiri. Kita hanya penerima, kita bukan Pemberi. Yang
memberi ialah Allah, dan Allah menegaskan apa yang diberikan-Nya untuk kita
adalah baik belaka. Namun akal kita tidak akan mampu mengetahui rahsia di
sebalik yang pahit, pedih dan sakit. Mahunya yang manis-manis sahaja. Apatah
lagi nafsu. Ia akan memberontak apabila terjadi sesuatu yang berlawanan dengan
kehendak tabi'e nya.
Apabila
berlaku sesuatu yang berlawanan dengan kehendak diri, berlakulah stress,
marah dan sedih. Itu biasa. Hal itu sentiasa berlaku dalam kehidupan kita. Yang
luar biasanya, apabila kita memilih untuk 'berkelahi' dengan takdir. Kita tidak
menerima 'warna-warni' kehidupan seadanya. Kita tidak berdamai dengan takdir
sebaliknya memilih untuk memberontak, mempersoalkan dan melawannya. Persoalan
kenapa? Mengapa? Sering menghantui jiwa.
Bayangkan
kita sedang berjalan di tepi pantai sewaktu matahari mula terbenam. Warna di
kaki langit menjadi jingga, oren dan kuning keemasan. Kita melihat dan
menikmatinya sahaja. Kita tidak berkata, "Sewajarnya ditambah warna
kuning, dikurangkan warna jingga." Tidak! Kita tidak akan berkata begitu.
Sebaliknya kita memilih untuk 'bersahabat' dengan alam dan menikmati lukisan
alam seadanya. Hasilnya? Kita tenang. Kita menikmati alam seperti seadanya.
Akur kepada Pencipta senja.
Ironinya, sikap kita tidak
begitu apabila berdepan dengan 'lukisan takdir' pada kanvas kehidupan kita.
Sedangkan lukisan alam dan lukisan takdir itu sama-sama datangnya daripada
Allah. Mengapa kita memilih untuk berkrisis dengan ketentuan Allah dan tidak
mahu menerima semua itu seadanya?
Berusahalah
dengan segala upaya yang dikurniakan Allah. Tidak salah. Malah, kita dituntut
untuk mencorakkan kehidupan sendiri dengan panduan serta kekuatan yang
dibekalkan oleh Allah jua. Namun, setelah berusaha dan bersusah payah
semaksimumnya, letakkan segalanya di pinggiran. Jangan sekali-kali bersandarkan
kepada diri, namun bertawakkal, bersangka baik dan berdoalah kepada Allah.
Apapun nanti hasilnya, katakan pada diri, "Aku harap yang baik,
Allah akan memberi yang baik."
Jika yang diharapkan berlaku,
maka bersyukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak
disangka maka bersabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali
keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan,
kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia
sedang berlaku. Namun, apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar,
rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak
bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.
Inilah
hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita. Kita akan terus berbaik sangka
kepada Allah. Dia akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik
setiap takdir-Nya. Ya, kita tidak akan tahu segalanya, kerana ilmu sekelumit
cuma. Namun apabila Allah yang Maha Penyayang telah memilih itu kita maka
yakinlah kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Yang pahit itu
akan menjadi ubat. Yang pedih itu akan menjadi penawar.Jika itulah suara hati kita,
mana mungkin kita gelisah, resah dan stress keterlaluan? Yakinlah, kita hamba
Allah. Allah tidak akan mengecewakan kita.
Sebarkan Dakwah..('',)
No comments:
Post a Comment
Entry ini hanya sekadar perkongsian, pandangan. Take it or leave it. Don't judge a writing by its author.
Jom eratkan ukhuwwah...fillah abadan abada...('',)