maihotshop.com

There was an error in this gadget

My Instagram

Instagram

Wednesday, 27 February 2013

Kenapa Aurat Wanita Lebih Banyak Dari Aurat Lelaki?


Sebagaian wanita mengeluh kerana mereka perlu hidup sebagai seorang wanita, seperti yang kita lihat dialog di bawah. Mereka seolah-olah mempersoalkan ketentuan Allah SWT terhadap mereka. 
"Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak."
"Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak."
"Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!"
"Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!"
"Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?"
"Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?"
"Wanita takleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?"
Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak sama rata antara jantina, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan.
Kaum lelaki pula cakap, "Ah, mujur aku ni lelaki!"
Tunggu..!
Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Cuba renungi jawapan-jawapan di bawah.
"Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan di rumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu?

Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi di kalangan orang, agaknya apa akan terjadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak?
Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut? Jangankan saya, tapi tok imam akan tercabut serbannya jika tengok awak hanya pakai seluar pendek!"
"Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!"
"Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu.
Shh.. jangan kongsi dengan sape-sape walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!"
"Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah... itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan, malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua!"

"Akhirat nanti, saya dan lelaki lain di dunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!"
"Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!"
"Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya, dan menunaikan tanggungjawab kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!"

Allah SWT; sebagai Zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukum-Nya malah peraturan-Nya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.


Ayuh bangkit muslimah...Kita bertuah..!!!!

Saturday, 23 February 2013

Betul Ke Wanita Dicipta Dari Tulang Rusuk Lelaki?


Betul Ke Wanita Dicipta Dari Tulang Rusuk Lelaki?. Dalam sebuah hadis yang sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi berkata, “Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)“.

Adakah ayat ini bermaksud bahawa wanita secara umumnya dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk lelaki? Sebenarnya, di dalam A-Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan “Wahai manusia apabila kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu dari tanah , dan kemudian daripada nutfah.”

Oleh kerana kenyataan Al-Quran berhubung dengan kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat mencanggahinya. Jesteru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dari bentuk yang mencanggahi Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan asal-usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus Solihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Di dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata, “Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk,” dan bukan dicipta dari tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza dari kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya jesteru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia menghadapi masalah. 

Begitu juga dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak sempurna. Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semulajadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza dari kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semulajadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadang kala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

Berbalik kepada isu berkaitan kejadian kaum hawa daripada tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian ulama berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan hawa secara khusus. Mengikut pandangan mereka, hawa berasal daripada tulang rusuk Adam. Antara ulama yang berpegang dengan pandangan ini ialah sahabat Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir, Ibnu Humaid dan ramai lagi. Namun, apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini. 

Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah An-Nisa’ ayat 1 Allah menjelaskan dengan bermaksud, “Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.” Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.

Sebenarnya, Al-Quran lebih mementingkan supaya kualiti dan maruah wanita dipelihara dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Dalam islam wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba Allah. Sekiranya seorang wanita beriman dan beramal soleh dia diberi ganjaran yang tinggi dan diletakkan di tempat yang tinggi. 

Dalam surah Al-Imran ayat 195, Allah menyatakan yang bermaksud, “Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik dia lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.”

Tambahan daripada itu, Allah tidak pernah menghina ataupun memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan jantinanya. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya. Berhubung dengan ini, dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah menjelaskan, “Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu,” Hal ini adalah utama untuk difahami dan dihayati.

Wallahualam..

Tuesday, 5 February 2013

NABI KITA MAKHLUK PERTAMA DICIPTA?



Kita hidup dengan banyak persepsi. Jernihkannya dengan mengkaji.

              
                Dulu, saya ingat persoalan ini tidak penting. Sekali pandang, ianya nampak karut. Tapi, bila saya ‘google’ sekitar persoalan ini, saya terkejut apabila mendapati ramai orang memperkatakannya. Bukan sahaja oleh segelintir umat Islam di Malaysia bahkan minoriti umat di serata dunia.
Impaknya, ada pihak yang membentuk kumpulan mereka bersandarkan kepercayaan-kepercayaan pelik seumpama ini.  Jika dikaji lebih dalam, mereka bagai meletakkan kedudukan mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah oleh pemimpin mereka seakan setanding dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘sumber’ rujukan dalil-dalil syarak.
Hakikatnya, mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah memanglah wujud dan tsabit dalam Islam. Kita tidak boleh menafikannya mentah-mentah. Tidak boleh juga mengambilnya bulat-bulat. Kedudukannya, ia cuma sokongan tambahan, bukan sumber. Dianggap cahaya atas cahaya.
Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. Ini disebabkan oleh ia banyak bercampur baur dengan sangkaan dan kecenderungan diri sendiri.


Jika Benar Baginda Makhluk Pertama, Apa Buktinya?

Ada kefahaman yang bergayutan di minda orang awam bahawa Nabi Muhammad SAW diciptakan daripada cahaya. Bahkan mereka percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk pertama yang diciptakan.
Adakah kefahaman ini diceduk daripada sumber yang sahih? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada pena saya untuk mengulasnya, berpandukan ulasan para ulama muktabar.
                Apa buktinya Nabi kita makhluk pertama?
                Ada bukti wahyu? Ada bukti Sains?
                Tidak ada!
                Jika benar sekalipun, apa faedahnya kefahaman ini kepada peradaban dunia?
                Daripada kita memeningkan kepala berfikir sesuatu yang ‘pelik’ ini, lebih baik kita berpegang kepada apa yang ditetapkan secara ‘mutawatir’. Iaitu ‘sesuatu’ yang diceritakan oleh para sahabat yang ramai. Bahkan, pada setiap generasi, ada golongan yang dipercayai turut menceritakan perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan kita yakin, mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Nabi kita dimuliakan Allah kerana akhlaknya yang agung. Kerana kenabian-Nya. Bukan kerana alasan keutamaan yang tidak jelas kesahihannya. Allah SWT memuji keutamaan baginda secara jelas,
                “Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti yang agung.”(Surah al-Qalam:  4.)
                Baginda mulia kerana berakhlak mulia. Bukan kerana baginda makhluk pertama.


Ada Kelahiran dan Kewafatan

                Sejarah merekodkan peristiwa yang boleh diterima akal tentang permulaan dan pengakhiran riwayat hidup baginda. Baginda dilahirkan sebagaimana manusia biasa dilahirkan. Punya ibu dan ayah. Punya tarikh lahir. Punya tempat dilahirkan.
                “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.’” (Surah al-Kahfi: 110.)
Setiap tahun, kita mengenang nostalgia indah ini. Pada tahun gajah, lahirlah seorang bayi barakah di bumi Makkah. Baginda mempunyai nasab yang jelas, bukan nasab yang ‘ajaib’. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ayahnya pula bernama Abdullah bin Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy.
Baginda menjadi mata-mata rantai kepada perjuangan Rasul-rasul terdahulu. Sama menyebarkan risalah tauhid. Hukum syariatnya sahaja berbeza. Baginda penerus Nabi dan Rasul, bukan Nabi pertama yang diutus.
Rasulullah SAW membuat analogi yang menarik. Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya. Orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini. Mereka berkata, ‘Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini, ia akan lebih cantik,’. Akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi.” (Muttafaq a’laih).
Baginda wafat sebagai mana manusia lain diwafatkan. Datang Izrail lalu diambil nyawanya. Baginda mempunyai tarikh kewafatan. Tempat kewafatan. Tempat dimaqamkan. Semuanya jelas menunjukkan kehidupan baginda di dunia mempunyai had masa.


 Sumber Wahyu, Sokongan Akal

                Mari kita renung sejenak. Kelahiran Adam yang tidak berayah dan beribu, secara kasarnya, tidak boleh diterima logik. Begitu juga kelahiran Isa yang tidak berayah, tidak selaras dengan akal manusia yang terbatas. Tapi kesahihannya mempunyai dalil wahyu.  Maka, ia boleh diterima.
Akal perlu tunduk kepada wahyu. Kedudukan wahyu adalah lebih tinggi berbanding akal. Wahyu adalah sumber. Manakala, akal cuma sokongan. Itu tidak bermakna akal tidak penting. Akal tetap dimuliakan Islam. Hinggakan, seringkali disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Kenapa kamu tak guna akal?”
Kita kembali kepada isu penciptaan Muhammad SAW sebagai makhluk pertama dan diciptakan daripada cahaya. Bukankah ia tidak dapat diterima akal? Bahkan tidak pula mempunyai sumber wahyu yang sahih. Jadi, bagaimana kita dapat menerima idea ini?
Apa yang jelas, kehidupan baginda mempunyai batas masa.  Waktunya terhad. Tatkala baginda dijemput mengadap-Nya, ada sahabat yang sukar menerima. Namun, mereka terpaksa tunduk kepada kalam-Nya, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati.” (Az-Zumar: 30.)


Nabi Bimbang Jika Kita Berlebihan

                Ya, kita diwajibkan mencintai Nabi melebihi cinta kepada nyawa dan darah kita sendiri. Namun, kita diingatkan agar jangan sampai bersikap keterlaluan. Hingga ada yang mengangkat Nabi sebagai Tuhan. Umat-umat terdahulu ramai yang terpisah daripada hidayah Allah berpunca daripada sikap keterlaluan mereka dalam memuja dan menyanjung. Allah SWT mengajar Nabinya menyeru,
                “Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti mana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR Bukhari).
                Agak berlebihan jika kita menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya. Itu seakan-akan meletakkan Nabi di posisi malaikat bukannya manusia. Wahyu menjelaskan Nabi SAW adalah manusia. Baginda diciptakan daripada air yang terpancut. Sama seperti manusia yang lain.
                Boleh jadi, mereka yang menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya mengambil dalil ini,
                “….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya (Rasulullah) dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
                Sastera Allah maha tinggi. Bukan Rasulullah SAW sahaja yang digambarkan seperti cahaya, bahkan al-Quran juga sering disifatkan seperti cahaya. Antara lain Allah berkata,
                “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahayanya (al-Quran) yang telah kami turunkan. (At-Thaghabun: 8).
                Kiasan disangka hakikat. Bimbang, kepercayaan ini akan membawa kepada penyanjungan yang tidak benar. Hinggakan, ada orang yang mendendangkan salawat berbunyi, “Salawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.”
 Lebih membimbangkan jika kepercayaan ini akan mengheret penyanjungan Nabi setaraf Tuhan sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang Kristian. Nauzubillah.


Kalau Benar Sayangkan Nabi…

Ummat Islam mencintai Nabi Muhammad SAW. Ummat memuliakan setiap detik yang dilalui oleh baginda. Tatkala Nabi kita dihina, hati-hati kita segera bertautan erat seluruh dunia. Bersatu membela baginda. Demonstrasi aman bergelombang di mana-mana. Indahnya cinta yang tulus ini.
                Dalam mengekspresikan cinta suci, kita perlu berhati-hati. Ada pemikiran dan tindakan yang berlebih-lebihan hingga bertentangan dengan seruan baginda. Semuanya atas nama cinta. Namun jika tidak bersandarkan sumber yang sahih dan rasional manusia, ia jadi celaka.
                Bukankah Nabi kita tidak mengajar membunuh orang yang tiada kena mengena? Dengan ajaran mulia, baginda menawarkan rasa aman kepada dunia. Rasa aman berhak dinikmati oleh orang yang tidak bersalah.
Kalau benar sayangkan Nabi, ikutlah seruannya secara menyeluruh. Kajilah sirah baginda bersungguh-sungguh. Barulah lahir peribadi umatnya yang teguh dan layak dibuat contoh. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, insya-Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.