teratakserimurni.blogspot.com

My Instagram

Instagram

Tuesday 14 October 2014

OH, NIKMATNYA DUNIA..!!!


17OKT
86369502Pernahkah anda rasa lebih miskin setelah mendapat sesuatu? Ramai yang pernah saya tanyakan mengakui pernah. Bila saya tanyakan lagi, mengapa? Mereka menjawab, sebab keinginan jadi semakin bertambah. Ketika duit sedikit… keinginan mungkin hanya satu.
Tetapi bila duit mula bertambah, keinginan jadi 2, 3, 4 dan seterusnya. Dan paling malang bila kadar pertambahan duit itu adalah rendah berbanding kadar peningkatan keinginan… Dan kita akan menjadi lebih “kurang” dan “miskin’ daripada sebelumnya! Inilah sifat tabie manusia yang diceritakan dalam al Quran, “sangat mendalam cintanya kepada kepada harta”. Tanpa kawalan iman, keinginan itu akan menjahanamkan.
Psikologi ini malangnya dieksploitasi semaksimumnya oleh para kapitalis. Mereka tahu… sebaik manusia mendapat sesuatu, keinginan mereka mula berpindah kepada sesuatu yang lain pula. Inilah di sebalik penciptaan produk dan perkhidmatan yang begitu laju. Fesyen pakaian, jenama produk, eksesori alat telekomunikasi, menu makanan  yang sentiasa dinamik.
Dibius atas nama “kemajuan”, manusia disiksa dengan pelabagi keinginan yang tidak bertepian. Lalu… kapitalis memperalatkan kehendak nafsu manusia yang tidak ada batas dan tidak mengenal puas walaupun di sana Al Quran ada mengingatkan, “tidaklah kehidupan dunia ini melainkan mata benda yang menipu daya!” Mari ikuti tulisanini… jangan dicari neraka dunia. Carilah syurga dunia. Tetapi sebelum itu ikuti kisah ini:  Cerita ini pendek dan ringkas sahaja.
Namun pengajarannya cukup relevan dan padat. Ia mengisahkan seorang budak yang telah kehilangan sejumlah wang dalam perjalanannya ke kedai untuk membeli gula-gula. Setelah puas mencari wangnya yang hilang tetapi tidak juga ditemuinya, maka budak itu kecewa lalu menangis teresak-esak di tepi jalan. Tangisannya itu telah menarik perhatian seorang tua yang kebetulan sedang berjalan di situ. Orang tua itu berhenti dan lalu bertanya, “mengapa engkau menangis wahai budak?”. Budak itu menjawab, “saya kehilangan wang untuk membeli gula-gula.” Orang tua itupun bersimpati lalu berkata, “hentikanlah tangisanmu dan ini wang Pak Cik sebagai gantinya.” Budak itupun menerima wang tersebut. Namun sejurus kemudian dia menangis lagi. Malah kali ini tangisannya jauh lebih kuat. Pak Cik tadi kehairanan lalu bertanya, “kenapa engkau menangis lagi? Bukankah wangmu yang hilang itu telah kugantikan?” Budak itu terus menjawab, “saya menangis kerana jika wang sebelumnya tidak hilang, maka sudah tentu sekarang saya memiliki lebih banyak wang!” Iktibar dari kisah ini sebenarnya adalah berkisar di sekitar sifat tamak dan kerakusan manusia. Budak dalam kisah ini adalah lambang tabiat manusia yang tidak sabar dengan apa yang hilang dan tidak pernah puas dengan apa yang ada. Pada dasarnya, keadaan ini berlaku kerana dua sifat yang semakin pupus dalam jiwa manusia yakni sifat sabar dan sifat syukur.
Tangisan pertama, menunjukkan budak itu tidak sabar dengan kehilangan wangnya. Manakala tangisan kedua pula menunjukkan budak itu tidak bersyukur dengan apa yang ada. Dalam kedua-dua keadaan kanak-kanak itu susah hati. Susah hati inilah yang menyebabkan ia menangis. Susah hatinya kerana tidak sabar. Susah hatinya kerana tidak syukur. Pendek kata cerita ini membuktikan bahawa lebih atau kurangnya harta bukanlah faktor yang menentukan ketenangan jiwa.
Timbul pertanyaan dihati kita, apa sebenarnya ketenangan itu? Dan ia terletak di mana? Adalah sesuatu yang biasa jika manusia susah hati apabila ditimpa kemiskinan… Tetapi sangat aneh, mengapa ada orang yang masih susah hati ketika dilimpahi kekayaan? Ini satu persoalan yang menarik untuk dibincangkan. Sebenarnya dalam Islam hakikat kekayaan ialah kaya hati. Inilah kekayaan yang hakiki. Rasulullah SAW telah bersabda:“Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa.” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Bukanlah dinamakan kaya itu kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”
Apakah yang dimaksudkan dengan kaya hati? Kaya hati ialah hati itu mampu bersabar apabila ditimpa kemiskinan dan mampu bersyukur apabila mendapat kekayaan. Dan dalam apa jua keadaan orang yang memiliki hati yang sedemikian akan mendapat ketenangan dalam hidupnya. Ketenangan inilah yang menjadi asas dan teras pada kekayaan hakiki pada seseorang individu. Dan Maha Adil Tuhan yang telah menentukan bahawa kekayaan hati itu boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja tidak kira simiskin atau sikaya. Asalkan sahaja hati itu dihubungkan dengan Allah, maka hati itu akan tenang.
Firman Allah: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Al Ra’d Soalnya bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan? Ini kerana apabila hati seseorang mengingati Tuhan maka seseorang individu itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Bila ditimpa musibah, katalah kemiskinan, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan dari Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.
Walaupun dia telah berusaha segigih dan sekuat mungkin, tetapi jika ditakdirkan miskin … diterimanya ketentuan itu dengan hati yang sabar. Dalam hatinya dia berkata, “takdir sentiasa mengatasi tadbir. Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.”Dia tidak aka n menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya. Kerana apa? Kerana dia sedar sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah. Maka dengan keyakinan yang sebegini orang tersebut akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya.
Dia yakin, bahawa semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang dari Allah (yang Maha Pengasih) walaupun jika dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan. Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya. Maka jika kita sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk ‘memberontak’ menentang sebarang ketentuan Allah? Walaupun patuh kepada-Nya bukanlah alasan untuk tidak berusaha menolak kemiskinan, kesakitan dan kegagalan namun jika ia berlaku juga tentulah ada kebaikan yang tersembunyi.
Dan hakikat itu pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah yang Maha luas. Lupakah kita bahawa Allah pernah mengintakan bahawa,“dan ada perkara yang kamu benci tetapi itu membawa kebaikan bagi kamu dan ada perkara yang kamu sukai tetapi itu tidak baik bagi kamu. Allah lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.” Orang yang hatinya mengingati Allah juga akan bersifat syukur apabila mendapat nikmat. Hatinya tidak terlalu melonjak-lonjak, sombong, zalim dan memandang rendah kepada orang lain. Dia sedar bahawa kelebihan yang diberikan kepadanya hakikatnya adalah satu amanah daripada Allah yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya.
Syukur ertinya, menyedari bahawa nikmat itu adalah dari Allah seterusnya menggunakan nikmat itu selaras dengan tujuan pengurniaan nikmat tersebut. Jika dia diberi kekayaan, dia sedar itu adalah amanah dari Allah untuk membantu hamba Allah yang lain. Maka dibelanjakanlah kelebihan itu untuk membantu fakir miskin melalui ibadah zakat, sedekah dan hibah. Jika dia pandai, dia rasa kepandaian itu datangnya dari Allah lalu digunakannya kepandaian itu untuk mengajar orang lain dan membantu masyarakat.
Dia tidak sombong seperti Qarun, yang merasai kekayaannya adalah hasil kepandaiannya berniaga. Sebaliknya dia mewarisi sifat Nabi Sulaiman yang apabila dipuji dia berkata: “Semua ini adalah pemberian Tuhanku.” Justeru apabila kita dikurniakan nikmat, kita akan diajar untuk mengucapkan alhamdulillah – ertinya, segala puji bagi Allah. Apa rahsia di sebalik ucapan ini? Ertinya, kita diminta memuji Allah bukan memuji diri kita apabila mendapat nikmat. Bila dikurniakan harta, kita ucapkan ‘segala puji bagi Allah’ yang bermaksud Tuhan itulah yang mengurniakan harta kepada kita dan kepada-Nyalah kita wajib berterima-kasih. Hati kita akan puas dengan apa yang diberikan-Nya.
Sebaliknya jika kita tidak rasakan itu pemberian dari Tuhan, maka kita akan ditimpa oleh dua kemungkinan – satu rasa sombong diri dengan kelebihan dan kurniaan itu. Atau yang kedua, rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada. Mencari dan terus mencari, umpama orang yang minum air laut, makin diminum makin haus. Fenomena inilah yang melahirkan amalan ‘jenayah kolar putih’ – rasuah, penyelewengan dan berbagai-bagai skandal kewangan dikalangan orang atasan.
Sudah kaya harta, tapi masih tamak kerana miskin hatinya. Hakikat inilah yang pernah digambar oleh maksud hadis bahawa jika dunia ini diserahkan kepada seorang yang tamak, maka dia akan menuntut sebuah lagi dunia yang seumpanya. Inilah bahana kerakusan nafsu yang tidak pernah kenal erti cukup dan puas. Ya, jika direnung dalam-dalam, ramai manusia hari ini tidak kira di mana, walau siapapun dirinya, dan pada bila-bila masapun, telah mengalami ‘sakit rohani’ seperti yang tertera dalam kisah ini. Memang, sifat sabar dan syukur jarang dimiliki oleh manusia.
Manusia selalunya bersifat keluh-kesah bila ditimpa musibah, tetapi lupakan diri apabila menerima nikmat. Tidak sabar dan tidak syukur ini menyebabkan manusia menderita dalam apa jua keadaan – sama ada dalam kekurangan atau dalam kelebihan. Benarlah kata hukama bahawa, “barang siapa yang tidak cukup dengan yang sedikit, pasti tidak akan puas dengan yang banyak.” Sama seperti budak dalam cerita ini – hilang wang menangis, dapat wang pun masih menangis. Jelaslah bahawa wang dan harta bukanlah ukuran ketenangan jiwa dan kebahagiaan hidup.
Ya, wang tidak dinafikan perlu untuk kebahagiaan hidup tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor yang menjamin kebahagiaan. Dunia masakini telah dihuni oleh ramai orang miskin yang kecewa, marah dan hasad terhadap kekayaan orang lain. Dan dengan sifat-sifat negatif itulah mereka terdorong untuk melakukan perbuatan mencuri, merompak dan rasuah. Kemiskinan harta yang dialami diiringi juga oleh kemiskinan hati. Dunia masakini juga telah dipenuhi oleh orang kaya yang tidak bersyukur, yang terus merasa miskin walaupun ditimbuni oleh wang ringgit dan harta. Akibat kemiskinan hati, orang kaya ini sentiasa merasa kurang dengan apa yang ada.
Akibatnya, berlakulah penyelewengan, rasuah, riba dan lain-lain jenayah kewangan yang dilakukan oleh orang yang telah kaya. Dengan adanya dua kelompok manusia ini, dunia menjadi semakin huru-hara. Tidak ada hubungan yang harmoni antara yang miskin dan kaya. Yang miskin hasad dengki manakala yang kaya pula terus tamak dan sombong. Moral dari cerita ini ialah carilah kekayaan hati di samping mencari kekayaan harta. Kekayaan hati bukan sahaja penting di akhirat sebagai jaminan keselamatan dan kebahagiaan di sana. Namun ia juga penting untuk kebahagiaan kita di alam dunia ini lagi.
Percayalah, ketenangan di dunia ini adalah bayangan kepada kebahagiaan di akhirat. Justeru dunia adalah ‘ladang’ akhirat. Bagaimana kita akan dapat menuai hasil yang baik dan lumayan di akhirat nanti, jika pokok yang kita tanam di dunia bantut dan kering layu? Sebab itu ahli sufi pernah berkata: “Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Ajjanatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”
Ah, nikmatnya syurga dunia… hati sentiasa lapang, tenang. Kaya, syukur. Miskin, sabar. Inilah hakikatnya perjuangan kita di dunia.
SEMOGA KITA BEROLEH KEJAYAAN DUNIA SERTA AKHIRAT..INSYA'ALLAH..

No comments:

Post a Comment

Entry ini hanya sekadar perkongsian, pandangan. Take it or leave it. Don't judge a writing by its author.
Jom eratkan ukhuwwah...fillah abadan abada...('',)