teratakserimurni.blogspot.com

My Instagram

Instagram

Tuesday 5 February 2013

NABI KITA MAKHLUK PERTAMA DICIPTA?



Kita hidup dengan banyak persepsi. Jernihkannya dengan mengkaji.

              
                Dulu, saya ingat persoalan ini tidak penting. Sekali pandang, ianya nampak karut. Tapi, bila saya ‘google’ sekitar persoalan ini, saya terkejut apabila mendapati ramai orang memperkatakannya. Bukan sahaja oleh segelintir umat Islam di Malaysia bahkan minoriti umat di serata dunia.
Impaknya, ada pihak yang membentuk kumpulan mereka bersandarkan kepercayaan-kepercayaan pelik seumpama ini.  Jika dikaji lebih dalam, mereka bagai meletakkan kedudukan mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah oleh pemimpin mereka seakan setanding dengan kedudukan al-Quran dan al-Sunnah sebagai ‘sumber’ rujukan dalil-dalil syarak.
Hakikatnya, mimpi, ilham, lintasan hati dan rukyah memanglah wujud dan tsabit dalam Islam. Kita tidak boleh menafikannya mentah-mentah. Tidak boleh juga mengambilnya bulat-bulat. Kedudukannya, ia cuma sokongan tambahan, bukan sumber. Dianggap cahaya atas cahaya.
Ia tidak diambil kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dan nas-nasnya. Ini disebabkan oleh ia banyak bercampur baur dengan sangkaan dan kecenderungan diri sendiri.


Jika Benar Baginda Makhluk Pertama, Apa Buktinya?

Ada kefahaman yang bergayutan di minda orang awam bahawa Nabi Muhammad SAW diciptakan daripada cahaya. Bahkan mereka percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah makhluk pertama yang diciptakan.
Adakah kefahaman ini diceduk daripada sumber yang sahih? Moga Allah SWT memberi petunjuk kepada pena saya untuk mengulasnya, berpandukan ulasan para ulama muktabar.
                Apa buktinya Nabi kita makhluk pertama?
                Ada bukti wahyu? Ada bukti Sains?
                Tidak ada!
                Jika benar sekalipun, apa faedahnya kefahaman ini kepada peradaban dunia?
                Daripada kita memeningkan kepala berfikir sesuatu yang ‘pelik’ ini, lebih baik kita berpegang kepada apa yang ditetapkan secara ‘mutawatir’. Iaitu ‘sesuatu’ yang diceritakan oleh para sahabat yang ramai. Bahkan, pada setiap generasi, ada golongan yang dipercayai turut menceritakan perkara tersebut. Keadaan ini menyebabkan kita yakin, mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Nabi kita dimuliakan Allah kerana akhlaknya yang agung. Kerana kenabian-Nya. Bukan kerana alasan keutamaan yang tidak jelas kesahihannya. Allah SWT memuji keutamaan baginda secara jelas,
                “Dan sesungguhnya kamu benar-benar orang yang berbudi pekerti yang agung.”(Surah al-Qalam:  4.)
                Baginda mulia kerana berakhlak mulia. Bukan kerana baginda makhluk pertama.


Ada Kelahiran dan Kewafatan

                Sejarah merekodkan peristiwa yang boleh diterima akal tentang permulaan dan pengakhiran riwayat hidup baginda. Baginda dilahirkan sebagaimana manusia biasa dilahirkan. Punya ibu dan ayah. Punya tarikh lahir. Punya tempat dilahirkan.
                “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang Esa.’” (Surah al-Kahfi: 110.)
Setiap tahun, kita mengenang nostalgia indah ini. Pada tahun gajah, lahirlah seorang bayi barakah di bumi Makkah. Baginda mempunyai nasab yang jelas, bukan nasab yang ‘ajaib’. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Ayahnya pula bernama Abdullah bin Abdul Muthalib al-Hasyimi al-Quraisy.
Baginda menjadi mata-mata rantai kepada perjuangan Rasul-rasul terdahulu. Sama menyebarkan risalah tauhid. Hukum syariatnya sahaja berbeza. Baginda penerus Nabi dan Rasul, bukan Nabi pertama yang diutus.
Rasulullah SAW membuat analogi yang menarik. Perumpamaanku dan perumpamaan nabi-nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah, dia menyempurnakannya kecuali satu sudut tempat meletakkan batu-batanya. Orang ramai mengelilinginya dan merasa takjub melihat keindahan binaan ini. Mereka berkata, ‘Kalaulah bukan kerana ruang kosong bagi bata ini, ia akan lebih cantik,’. Akulah ruang kosong bagi bata itu, akulah penutup bagi nabi-nabi.” (Muttafaq a’laih).
Baginda wafat sebagai mana manusia lain diwafatkan. Datang Izrail lalu diambil nyawanya. Baginda mempunyai tarikh kewafatan. Tempat kewafatan. Tempat dimaqamkan. Semuanya jelas menunjukkan kehidupan baginda di dunia mempunyai had masa.


 Sumber Wahyu, Sokongan Akal

                Mari kita renung sejenak. Kelahiran Adam yang tidak berayah dan beribu, secara kasarnya, tidak boleh diterima logik. Begitu juga kelahiran Isa yang tidak berayah, tidak selaras dengan akal manusia yang terbatas. Tapi kesahihannya mempunyai dalil wahyu.  Maka, ia boleh diterima.
Akal perlu tunduk kepada wahyu. Kedudukan wahyu adalah lebih tinggi berbanding akal. Wahyu adalah sumber. Manakala, akal cuma sokongan. Itu tidak bermakna akal tidak penting. Akal tetap dimuliakan Islam. Hinggakan, seringkali disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran, “Kenapa kamu tak guna akal?”
Kita kembali kepada isu penciptaan Muhammad SAW sebagai makhluk pertama dan diciptakan daripada cahaya. Bukankah ia tidak dapat diterima akal? Bahkan tidak pula mempunyai sumber wahyu yang sahih. Jadi, bagaimana kita dapat menerima idea ini?
Apa yang jelas, kehidupan baginda mempunyai batas masa.  Waktunya terhad. Tatkala baginda dijemput mengadap-Nya, ada sahabat yang sukar menerima. Namun, mereka terpaksa tunduk kepada kalam-Nya, “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati.” (Az-Zumar: 30.)


Nabi Bimbang Jika Kita Berlebihan

                Ya, kita diwajibkan mencintai Nabi melebihi cinta kepada nyawa dan darah kita sendiri. Namun, kita diingatkan agar jangan sampai bersikap keterlaluan. Hingga ada yang mengangkat Nabi sebagai Tuhan. Umat-umat terdahulu ramai yang terpisah daripada hidayah Allah berpunca daripada sikap keterlaluan mereka dalam memuja dan menyanjung. Allah SWT mengajar Nabinya menyeru,
                “Janganlah kamu sekalian menyanjungku seperti mana kaum Nasrani menyanjung Isa putera Maryam. Sesungguhnya aku adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” (HR Bukhari).
                Agak berlebihan jika kita menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya. Itu seakan-akan meletakkan Nabi di posisi malaikat bukannya manusia. Wahyu menjelaskan Nabi SAW adalah manusia. Baginda diciptakan daripada air yang terpancut. Sama seperti manusia yang lain.
                Boleh jadi, mereka yang menganggap Nabi diciptakan daripada cahaya mengambil dalil ini,
                “….Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya (Rasulullah) dari Allah, dan kitab yang menerangkan.” (Al-Maidah: 15)
                Sastera Allah maha tinggi. Bukan Rasulullah SAW sahaja yang digambarkan seperti cahaya, bahkan al-Quran juga sering disifatkan seperti cahaya. Antara lain Allah berkata,
                “Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya serta cahayanya (al-Quran) yang telah kami turunkan. (At-Thaghabun: 8).
                Kiasan disangka hakikat. Bimbang, kepercayaan ini akan membawa kepada penyanjungan yang tidak benar. Hinggakan, ada orang yang mendendangkan salawat berbunyi, “Salawat dan salam bagimu wahai makhluk Allah yang pertama.”
 Lebih membimbangkan jika kepercayaan ini akan mengheret penyanjungan Nabi setaraf Tuhan sebagaimana yang terjadi kepada orang-orang Kristian. Nauzubillah.


Kalau Benar Sayangkan Nabi…

Ummat Islam mencintai Nabi Muhammad SAW. Ummat memuliakan setiap detik yang dilalui oleh baginda. Tatkala Nabi kita dihina, hati-hati kita segera bertautan erat seluruh dunia. Bersatu membela baginda. Demonstrasi aman bergelombang di mana-mana. Indahnya cinta yang tulus ini.
                Dalam mengekspresikan cinta suci, kita perlu berhati-hati. Ada pemikiran dan tindakan yang berlebih-lebihan hingga bertentangan dengan seruan baginda. Semuanya atas nama cinta. Namun jika tidak bersandarkan sumber yang sahih dan rasional manusia, ia jadi celaka.
                Bukankah Nabi kita tidak mengajar membunuh orang yang tiada kena mengena? Dengan ajaran mulia, baginda menawarkan rasa aman kepada dunia. Rasa aman berhak dinikmati oleh orang yang tidak bersalah.
Kalau benar sayangkan Nabi, ikutlah seruannya secara menyeluruh. Kajilah sirah baginda bersungguh-sungguh. Barulah lahir peribadi umatnya yang teguh dan layak dibuat contoh. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, insya-Allah kita tidak akan sesat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment

Entry ini hanya sekadar perkongsian, pandangan. Take it or leave it. Don't judge a writing by its author.
Jom eratkan ukhuwwah...fillah abadan abada...('',)