teratakserimurni.blogspot.com

My Instagram

Instagram

Sunday, 12 August 2012

GANDAKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta benda. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi
mulia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hambaNya lebih luas lagi berbanding bulan-bulan yang lain.

Alangkah ruginya seorang muslim itu jika dia tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadhan, yang hanya hadir setahun sekali, iaitu dengan berusaha meningkatkan amal ibadat termasuk
memperbaiki akhlak dan budi pekerti.

Walaupun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadat pada setiap masa, namun bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan atau memulakan langkah mengerjakan suatu amalan yang sebelum itu jarang ataupun belum pernah dikerjakan. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah amalan bersedekah.

Bulan Ramadhan Waktu Paling Afdhal Untuk Bersedekah 

Tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau diteladani oleh manusia  selain daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah  Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab: 21)

Oleh kerana itu, cara terbaik bagi menjalani bulan Ramadhan ini ialah dengan menghayati dan meneladani bagaimana sikap dan sifat Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam  ketika berada di bulan tersebut. 

Menurut riwayat hadits-hadits shahih yang dikhabarkan kepada kita melalui para sahabat Baginda, selain meningkatkan amal ibadat Baginda di bulan rahmat ini, sifat serta akhlak Baginda yang sangat mulia lagi luhur dan tiada bandingnya itu pun turut sama meningkat lebih tinggi daripada  dalam bulan-bulan yang lain.

Antaranya yang diberitakan oleh  para sahabat ialah sifat murah hati serta dermawan Baginda yang sememangnya merupakan makhluk yang paling pemurah itu bertambah-tambah lagi pemurahnya ketika berada di bulan Ramadhan.  Ini jelas termaktub dalam riwayat hadits-hadits shahih yang menceritakan bagaimana ringan  serta cepatnya tangan Baginda yang mulia itu menghulurkan bantuan atau pemberian seperti sedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan. Umpamanya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas  Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam  bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘alaihissalam (kerana Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan  Jibril ‘alaihissalam untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadarus al-Qur‘an dengan Jibril ‘alaihissalam).  Adapun Jibril ‘alaihissalam mendatangi Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu Baginda (Jibril ‘alaihissalam) mengajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam al-Qur‘an (mentasme‘ dan meneliti bacaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu sangat  pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup”.

(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani  Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits ini, maksud  “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada  angin yang bertiup”  itu ialah betapa pantas dan ringannya  tangan Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan  kebajikan yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi  Rahimahullah, hadits ini merupakan seruan serta anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap detik dan ketika, dan sunat meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan  sebagai mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

Maka berdasarkan hadits ini, para ulama telah mengambil kesimpulan bahawa waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah dalam bulan Ramadhan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut. 

Menurut ulama, keutamaan dan keistimewaan bersedekah di bulan Ramadhan itu adalah kerana  kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri, ditambah lagi dengan  keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.

Ini dikuatkan lagi dengan  keperibadian Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan yang mana sifat pemurah Baginda pada waktu tersebut diumpamakan oleh sahabat Baginda sebagai lebih pemurah daripada  limpahan angin yang membawa rahmat dan manfaat kepada  siapa sahaja yang terkena hembusannya. Diikuti pula selepas itu, afdhal bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain, seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil ‘Adha. 

Bagaimanapun, harus diambil perhatian di sini bahawa pemilihan waktu yang paling afdhal untuk  bersedekah ini bukanlah satu anjuran supaya kita melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadhan atau sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah atau lain-lain yang disebutkan tadi.

Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Akan tetapi, ia lebih merupakan dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu tersebut kerana sedekah pada waktu-waktu berkenaan lebih besar ganjaran serta faedahnya.

Sebagai hamba Allah  Subhanahu wa Ta‘ala yang sentiasa mengharapkan rahmat serta keredhaanNya, kita sewajarnya mencari apa sahaja jalan yang akan mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jalan terbaik untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan meneladani kekasihNya iaitu Nabi Muhammad  Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menduduki darjat tertinggi di
sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu pun sentiasa merebut peluang untuk mencari keredhaanNya sebagai luahan rasa syukur Baginda atas segala kurniaanNya, jadi bagaimana pula kita yang merupakan hambaNya yang kerdil dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa ini?

Jadi rebutlah peluang  untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah  Subhanahu wa Ta‘ala dengan memanfaatkan kehadiran bulan  Ramadhan ini  dengan sebaiknya dan jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.


Oleh : Mufti Brunei

Wednesday, 8 August 2012

Memburu Lailatul Qadar..



Diam tak diam 10 malam terakhir Ramadan dah hampir dengan kita.
Seperti yang kita tahu dalam 10 malam terakhir ramadhan terdapat satu malam yang dinamakan malam lailatul qadar.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3

Maksudnya: 

" Malam Lailatul Qadar lebih baik 
daripada seribu malam "

Ertinya menghidupkan malam Lailatu Qadar dengan mengerjakan ibadah sunat atau wajib adalah lebih baik daripada kita beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul Qadar.

Nabi S.A.W. bersabda:

Maksunya:

  " Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatu Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu "

Malam Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadhan. Rasullullah S.A.W. berbada :

Makdunya:

" Carilah malam Lailatul Qadar 
pada sepuluh malam terakhir 
bulan Ramadhan dalam malam ganjil "

  1. 10 Ogos = 21 Ramadhan (Jumaat)
  2. 12 Ogos = 23 Ramadhan (Ahad)
  3. 14 Ogos = 25 Ramadan  ( Selasa)
  4. 16 Ogos = 27 Ramadan  ( Khamis)
  5. 18 Ogos = 29 Ramadan  ( Sabtu)






InsyaAllah.. Sama-sama kita buru malam Lailatul Qadar  ^_^

Tuesday, 7 August 2012

Antara syiling dan batu


TINGG!

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yang sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu, tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja.

Tidak menunggu lama, tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya.

Dia menyambung semula kerjanya.

TINGG!

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri kanan dan disekelilingnya. Tiada siapa yang berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.

Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.

"Rezeki aku!" kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu.

Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yang mahu disampaikan ketuanya itu. Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yang berada pada aras paling bawah.

Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dik kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.

Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yang terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.

Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.

Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

P/s : Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan 'syiling' lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yang tidak terkira banyak kepada kita. 
Tuhan menjatuhkan 'syiling' itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Tetapi, kita acap kali lalai untuk 'mendongak' ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih. 
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula 'batu' yang berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan. 
Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita..

Tuesday, 31 July 2012

Antara Perempuan & Muslimah...


Perempuan
Apabila teruna memerhatikannya,
Perempuan akan membalas renungan matanya
Apapila teruna mendekati selangkah,
Perempuan datang berpuluh langkah
Apabila teruna memujuk rayu,
Perempuan lemah dalam pangkuannya
Apabila teruna memberi harapan,
Perempuan hanyut dalam angan langkah
Muslimah
Apabila teruna memandang nya,
Muslimah tunduk mengelak panah syaitan
Apabila teruna mendekati selangkah,
Muslimah berundur beribu langkah
Apabila teruna memujuk rayu,
Muslimah anggap itulah kalimah iblis
Apabila teruna menutur harapan indah,
Muslimah yakin janji-Nya lebih bahagia di sana
Kerana Muslimah mengerti dan menyedari
Akan erti maruah peribadi sejati
Yang diselaputi iman yang hakiki
Yang tidak mudah dicemari…
Siapakah muslimah yang menawan dan tidak tertawan dengan pujukan lelaki miang?
✔ Dia melukis kekuatan melalui masalah .
✔ Dia tersenyum saat tertekan .
✔ Dia tertawa saat hati sedang menangis .
✔ Dia tabah saat dihina .
✔ Dia mempersona kerana memaafkan .
✔ Dia mengasihi tanpa balasan .
✔ Dia bertambah kuat dalam doa dan pengharapan Ilahi .

Bersama ke arah menjadi muslimah sejati..('',)

Sunday, 29 July 2012

6 perkara Allah sembunyikan

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan
Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara
timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan124, 000 sayap). Setelah itu
Jibrail as memandang dirinya sendiri danberkata:

'Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?.'

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. 'Tidak'

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kamu telahmenyembah aku dengan ibadah yangbersungguh- sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir
zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atasperintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.'

Kemudian Jibrail as berkata: 'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?'

Lalu Allah berfirman yang bermak! sud. 'Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal...'

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? '

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. 'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yangtelah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .'

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

#wahai rakan rakan ku yg dikasihi sekalian, sebarlah ilmu ini, agar semua kwn kwn kita diluar sana kembali ke pangkal jalan, ikut islam sebenar benarnya, sesiapa yang mengajak kebaikkan, pahala seseorang yang diajak kebaikkan itu dapat padanya tanpa dikurangkan sedikitpun. inshaAllah...



SEBARKAN DAKWAH..

Saturday, 28 July 2012

11 Amalan Terbaik Sepanjang Ramadhan


Adalah penting bagi kita untuk mengetahui kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dalam bab kaifiat dan fadhilat ibadah. Ini kerana ia merupakan janji benar yang menjadi jaminan yang kukuh untuk kita berpegang dengannya. Menjadi sumber motivasi buat orang-orang yang beriman.
Berikut adalah beberapa hadith Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan kepada kita bagaimana untuk mendapatkan impak maksima dari kebaikan Ramadhan. Saya telah memetiknya dari kitab Riyadhus-Solihin susunan Imam Nawawi dan beberapa kitab muktabar yang lain. Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.




1. Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Bersahurlah kamu sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.”(HR Bukhari & Muslim)
Dari Zaid bin Tsabit radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Kami sahur bersama-sama dengan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, kemudian kami melaksanakan solat.” Ada seseorang bertanya: “Berapa lama antara sahur dengan solat itu?” Ia menjawab: “Kira-kira 50 ayat.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari ‘Amr bin ‘Ash radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Kelebihan puasa kami dan puasa ahli Kitab adalah adanya makan sahur.” (HR Muslim)

2. Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sentiasa berbuka dengan beberapa biji ruthob (kurma yang baru masak) sebelum solat. Jika tidak ada ruthob (kurma yang baru masak), maka baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam berbuka dengan tamar (kurma yang sudah kering). Jika tidak tamar (kurma yang sudah kering), maka baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam meneguk air beberapa teguk.” (HR Abu Daud dan At-Turmudzi)

3. Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”

4. Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:
“Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak. Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””. (HR Bukhari & Muslim)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak memerlukan ia meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

5. Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir bin Rabi’ah berkata:
“Saya melihat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan baginda pada saat itu sedang berpuasa. Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.” (HR Bukhari)
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu mengatakan bahwa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Andaikan tidak memberatkan umatku, niscaya mereka kuperintahkan bersiwak pada setiap kali berwudhu.” (HR Bukhari)

6. Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR Bukhari)

7. Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan, hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.

8. Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)

9. Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Barangsiapa yang mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

10. Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan. diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)

11. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
Dari Aisyah radhiAllahu ‘anha berkata:
“Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehingga Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam dipanggil ALLAH Ta’ala, kemudian setelah beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam wafat, isteri-isterinya meneruskan kebiasaan Beliau itu.” (HR Bukhari & Muslim)
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran yang besar dari hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam di atas. Janganlah dilepaskan peluang untuk mendapatkan pahala yang besar hasil dari usaha kita untuk bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah di atas.
Selain dari sunnah yang telah dinyatakan di atas, jangan lupa dan meremehkan lain-lain sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam seperti senyum, beri salam, solat jamaah di masjid, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, beri tadzkirah, merendah diri dan lain-lain.
Mudah-mudahan hidayah dan taufiq menyinari hati dan jiwa kita semua dan mudah-mudahn melekat ke dada kita semua akan nilai besar Taqwa, amin.

Sumber: http://albakriah.wordpress.com/