teratakserimurni.blogspot.com

My Instagram

Instagram

Sunday 25 August 2013

Nilai Hati Emas..



Ketika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku.” Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.
Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).
Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.
Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah s.a.w. menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-Hadid 57:20)
Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: “Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air.” (Riwayat Ibn Majah no. 4110)
Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)
Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang ajam (bukan Arab) melainkan taqwa yang dimiliknya. Firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)
Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan berambut kerinting, tidak berasa hina diri (inferiority complex) kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, “Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman.”

Justeru, sering diungkapkan; tidak mengapa jika kakimu yang sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi, dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai orang yang mempunyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun dikelilingi keseronokan.
Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan “hati emas” – hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.
Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.
Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, “jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!”
Apabila sudah tiba di dasar paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit, pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.
Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mihnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tiada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya; hati emas!
Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan.
Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.
Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu daya dan kezaliman.
Hayatilah sebuah sabda; jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!
sumber : genta-rasa.com

Sunday 18 August 2013

Ada Apa Dengan Cinta,,???

Jika kita terlebih cinta DUNIA, akan kecundang di akhirat sana...
Jika kita terlebih cinta ILMU, akan ternoda dgn kesombongannya...
Jika kita terlebih cinta MANUSIA, akan lemas di lautan derita...
Akan tetapi..
Jika kita terlebih mencintai-Nya, akan tenanglah jiwa & berbahagia selama2nya.
Maka marilah kita merendah diri, tunduk bersujud kpd Allah Yang Esa.. 


-> Terkadang bila kita berdoa untuk kuat, tapi banyak pula dugaan yang datang..
-> Terkadang bila kita minta cerdik, tapi masalah pula yang bertandang..
-> Terkadang bila kita minta kebahagiaan, tetapi huru-hara pula menjelang..

~> Dugaan menjadikan mental kita kuat..
~> Masalah menjadikan kita berfikir..
~> Huru-hara menjadikan kita tabah..

Subhanallah! Betapa hebatnya ALLAH SWT !
Semua aturan-Nya ada hikmah yang tersembunyi.. ^__^








kerana..
aturan Allah itu lebih sempurna..
Allah Allah Allah..